Gunasekaren suarakan usaha bersama perkasakan kebajikan pekerja ladang

SEREMBAN: Kebajikan pekerja ladang menjadi fokus persidangan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren, mengemukakan soalan lisan berkaitan inisiatif perumahan dan kemudahan asas untuk golongan tersebut dalam Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan di Wisma Negeri pada semalam.
Dalam sesi itu, Gunasekaren memohon penjelasan EXCO Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Industri, Veerapan Superamaniam, mengenai langkah Kerajaan Negeri memperkukuh kebajikan pekerja ladang yang masih berdepan isu perumahan tidak terurus, prasarana terhad dan kos sara hidup yang meningkat.
Beliau menegaskan pentingnya peranan pekerja ladang sebagai tulang belakang sektor perladangan negeri.
“Hampir 30 tahun lalu, Kerajaan Persekutuan pernah memperuntukkan RM50 juta bagi projek perumahan pekerja ladang, namun pelaksanaannya tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan melalui Menteri Sumber Manusia ketika itu, M. Kula Segaran, telah menghidupkan semula inisiatif tersebut dan berjaya melaksanakan projek rintis di Sungai Siput, Perak.
Perubahan pentadbiran kemudiannya menyebabkan usaha itu tidak dapat diteruskan.
“Sehubungan itu, saya berharap agar Negeri Sembilan dapat mengambil langkah proaktif sekiranya peruntukan tersebut diaktifkan semula, supaya pekerja ladang di negeri ini turut menerima manfaat,” kata Gunasekaren.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai perancangan untuk membina rumah baharu bagi pekerja ladang melalui peruntukan Kementerian Sumber Manusia.
Selain itu, beliau mencadangkan agar sebahagian peruntukan RM50 juta tersebut digunakan untuk menaik taraf Rumah Mampu Milik Type A, khusus bagi komuniti ladang, sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup mereka.
Menjawab perkara itu, Veerapan memaklumkan bahawa isu berkenaan akan dibawa terus kepada Menteri Sumber Manusia dalam masa terdekat bagi memastikan tindakan menyeluruh dapat diambil.
Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan pekerja ladang terus diberi perhatian.



