Hasil banyak, manfaat banyak; hutang banyak, lubang jalan pun tak mampu nak tampal
Ahmad Shahir Mohd Shah

“NEGERI kita ini bukan besar seperti Selangor.
Tetapi peranannya hampir setaraf Selangor.
Negeri kita ini bukan ada minyak sebanyak di Terengganu.
Tetapi hasil pendapatan tahunan negeri ini dua kali ganda dari Terengganu.
Negeri kita ini bukan kaya dengan padi seperti Kedah.
Tapi negeri ini ada juga tanaman yang menjamin hasil petani.
Negeri ini bukan ada sempadan antarabangsa seperti Johor dan Singapura.
Tetapi negeri ini menjadi laluan semua lori kontena dari utara ke selatan untuk ke pelabuhan atau lapangan terbang.
Sepatutnya anak Negeri Sembilan tidak lagi bercakap soal remeh.
Anak Negeri Sembilan yang berada di luar perlu balik dan bantu Negeri ini.
Negeri kita sudah berada pada landasan ekonomi yang sangat baik.
Bayangkan negeri yang kecil seperti kita ini boleh catat pelaburan sehingga RM10 bilion.
Hampir keseluruhan pelaburan itu adalah datang dari inisiatif dari agensi Kerajaan Negeri yang menggamit pelabur untuk masuk ke Negeri Sembilan.
Tapak-tapak pusat industri di Negeri Sembilan sudah menjadi salah satu destinasi utama pelabur asing yang ingin membina perniagaan di Malaysia.
Mengapa anak Negeri Sembilan perlu kembali ke Negeri Sembilan?
Dengan banyaknya industri yang akan tumbuh dalam masa terdekat, sudah pasti kita mahukan anak-anak Negeri Sembilan untuk mengisi semua posisi dan jawatan tersebut.
Di Negeri Sembilan, kakitangan awam persekutuan sekitar 45,000 orang. Selagi tiada hospital baru, sekolah baru, kem askar baru, atau balai polis baru, angka ini tidak berubah.
Tetapi, dengan tumbuhnya pelbagai kilang industri yang pelbagai jenis, ini akan memberi ruang kepada lebih 200,000 anak-anak Negeri Sembilan untuk membina kerjaya di Negeri Sembilan.
Bukan apa, orang Negeri Sembilan suka balik kampung.
Jika ibu dan ayah tinggal di Jempol, Gemas, Johol, Sungai Lui atau Seri Menanti, anak-anak pula bekerja di sekitar Seremban dan Nilai, sudah pasti senang untuk balik kampung setiap minggu.
Lebih-lebih lagi sekarang banyak inisiatif khas untuk rakyat Negeri Sembilan sahaja.
Ramai sahaja orang luar Negeri Sembilan yang duduk di negeri ini mengeluh dan kecewa apabila Kerajaan Negeri umum inisiatif khas untuk warga Negeri Sembilan.
Tapi apa boleh buat.
Semua inisiatif ini khas untuk ‘Orang Nismilan’.
Bangga saya jadi anak Negeri Sembilan.
Ahmad Shahir Mohd Shah
Ketua Editor