HTJS terima lawatan Tengku Ampuan Pahang, raikan kelahiran bayi hasil IVF TAFF
SEREMBAN: Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) terus komited dalam menyokong rawatan kesuburan apabila berjaya merekodkan kelahiran bayi hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF) menerusi kerjasama dengan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) sekali gus membawa sinar baharu kepada pasangan yang menantikan cahaya mata.
Pengasas TAFF, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat ibu dan bayi berkenaan di Wad 4A Kenanga, Bangunan Wanita dan Kanak-Kanak HTJS disini.
Baginda menzahirkan kesyukuran atas kelahiran bayi TAFF ke-151 itu serta memaklumkan bahawa lapan lagi pasangan kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata masing-masing.
“Sudah 20 tahun, TAFF telah membantu ramai pasangan tanpa mengira kaum yang masih belum dikurniakan anak,” kata Baginda.
Baginda turut berkongsi panduan penjagaan bayi dan amalan semasa berpantang selain beramah mesra dengan ibu-ibu yang berada di wad berkenaan serta para petugas kesihatan hospital.
Sementara itu, ibu bayi, Zahidah Zainudin dan suaminya Salahuddin Alayubi Nawawi yang berkhidmat di Jeleb menzahirkan rasa syukur apabila penantian selama 10 tahun mereka berakhir dengan kelahiran anak lelaki mereka yang diberi nama Sayf Al Ayubbi hasil rawatan IVF yang ditaja oleh TAFF.
“Sebelum menjalani rawatan IVF ini, kami telah mencuba pelbagai cara namun belum dikurniakan rezeki. Alhamdulillah, impian untuk bergelar ibu akhirnya termakbul,” katanya.




