Iklan tanpa permit jejaskan kutipan hasil MBS
NILAI: Akibat pemasangan papan tanda iklan tanpa permit, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kehilangan lebih setengah juta kutipan hasil.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim berkata, ini kerana terdapat 225 papan tanda iklan tanpa permit di dapati dalam kawasan MBS.
“Sebanyak 145 papan tanda telah dirobohkan, manakala 80 lagi masih dalam proses dan dijangka selesai hujung bulan depan.
“Sejak 2018, isu ini sudah dibangkitkan oleh pihak MBS, terdapat usaha yang diambil seperti mengeluarkan kompaun, namun pemilik papan iklan tidak memberikan sebarang tindak balas.
“Ini kerana Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS melalui AKta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan akan mengambil tindakan penguatkuasaan menerusi kompaun serta notis dan langkah terakhir adalah merobohkan papan iklan tersebut.
“Selain itu, pihak pengiklan yang tidak memenuhi spesifikasi pemasangan papan tanda juga boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya terutamanya waktu hujan lebat atau angin kencang.
“Dalam pada itu, saya juga ingin meminta supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain di Negeri Sembilan untuk memantau papan iklan haram di daerah masing-masing bagi memastikan tidak berlaku ketirisan terhadap hasil negeri,” kata Mohd Zafir.