SEREMBAN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan mutu pengangkutan rel dengan sasaran 80 peratus penggunaan landasan kereta api menjelang 2030.
“Justeru itu, pelaburan besar dalam sektor MRO dan inisiatif teknologi hijau membuktikan fokus kita untuk memastikan rangkaian rel negara kekal efisien, selamat, dan mampan.
“Industri MRO juga membuka peluang besar dalam mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan membangunkan modal insan tempatan.
“Sinergi erat antara sektor awam, swasta, dan pemain industri akan terus menjadi tunjang kepada kejayaan ini,” kata Loke.
Loke berkata demikian di Majlis Penyerahan Tren ETS Class 93 Bagi Projek ‘Maintenance, Repair and Overhaul’ (MRO) Kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) di Depoh EMU KTMB Seremban.
Turut hadir, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar.
Menurut Loke, majlis ini menandakan pencapaian penting dalam transformasi industri rel di Malaysia di mana pencapaian ini menekankan komitmen Destini Berhad (Destini), syarikat induk kepada M Rail Technics Sdn Bhd (RAILTEC) dalam memajukan usaha Malaysia menuju keupayaan penyelenggaraan rel yang berdikari, serta menyerlahkan peranan penting Kumpulan dalam meningkatkan infrastruktur rel negara.
“Kejayaan dalam membaik pulih kereta api ETS Kelas 93 bukan sahaja mengukuhkan keupayaan teknikal Destini dan RAILTEC, malah selaras dengan visi strategik untuk memupuk pertumbuhan mampan dalam industri pengangkutan Malaysia.
“Ini selaras dengan inisiatif berterusan Kerajaan untuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan MRO dan teknologi terkini demi memastikan perkhidmatan rel negara kekal efisien, selamat, dan kompetitif di peringkat serantau dan global.
“Tahniah kepada RAILTEC atas dedikasi ini.
“Bersama-sama, kita melangkah maju ke arah sistem rel yang moden dan lestari, demi aspirasi Malaysia MADANI,” ujar Loke.