Insentif APC dinaikkan RM2,000 bermula tahun ini
Penerima APC sedia ada layak menerima APC tahun hadapan sekiranya kekal cemerlang

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengumumkan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2025, layak mendapat insentif sebanyak RM2,000 bermula tahun ini.
Aminuddin juga mengumumkan, penerima APC sedia ada layak untuk menerima APC (Tahun 2025) pada tahun hadapan jika mengekalkan prestasi cemerlang seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Ada penjawat awam yang terpaksa diberi APC sebab belum pernah dapat dan ada yang terpaksa diberi kerana dah lama tak menerima APC.
“Mulai tahun hadapan, saya mohon kepada ketua jawatan agar serius memilih calon APC, sebab tahun hadapan saya mohon supaya digandakan jumlah insentif APC daripada RM1,000 kepada RM2,000.
“Tapi ia harus orang yang benar-benar buat kerja.
“Mereka yang bertungkus lumus, mereka yang tidak mempunyai masalah dengan tatakelola serta intergriti, dan kita ubah negeri ini.
“Kalau ketua jabatan jujur, saya yakin kita lebih hebat daripada apa yang ada,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata, beliau mahu Negeri Sembilan menjadi negeri yang pertama mengubah pendekatan baharu ini.
“Kalau semua setuju, bermula hari ini kita ubah, mereka yang cemerlang dapat APC lagi.
“Yang tahun ini dapat, tahun depan layak untuk terima APC dengan syarat mereka memang cemerlang
“Kalau mereka cemerlang apa salahnya?,” ujar Aminuddin dan disambut dengan tepukan gemuruh oleh penjawat awam.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024 di Klana Resort.