Isu tiada padang SMK Taman Semarak bakal selesai

NILAI: Isu tiada padang permainan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Semarak akan diatasi oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J.Arul Kumar berkata, beliau bersama pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Sembilan telah melawat sebahagian kawasan lapang bersebelahan dengan SMK Taman Semarak untuk dijadikan sebagai padang untuk sekolah tersebut.
“Sekolah tersebut mempunyai lebih 1,300 pelajar dan setakat ini tidak ada padang untuk sekolah tersebut.
“Kerajaan Negeri bersetuju untuk menawarkan sebidang tanah bersebelahan dengan SMK Taman Semarak untuk dijadikan sebagai padang sekolah dan ia akan memudahkan pelaksanaan aktiviti sukan bagi pelajar-pelajar di sekolah tersebut,” kata Arul Kumar.