BeritaMenarik

Jalaluddin minta kerajaan kaji semula kebebasan pelarian UNCHR

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias mahu kerajaan mengkaji semula ruang dan bentuk kebebasan yang diberikan kepada pelarian UNHCR di Malaysia.

Beliau berkata, sebahagian daripada pelarian ini merasakan Kad Pelarian UNHCR yang dimiliki membuatkan mereka kebal daripada dikenakan sebarang tindakan dan tidak teragak-agak untuk melakukan apa sahaja walaupun ianya melanggar undang-undang Malaysia.

“Isu pelarian ini jika kita biarkan berterusan dan tidak kita uruskan dengan sebaiknya, ianya akan menjadi bom jangka kepada Malaysia pada masa akan datang.

“Saya hendak syorkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), untuk laporan bagi tahun 2024 nanti, selain sebutkan tentang penindasan yang dihadapi oleh pelarian ini, jangan lupa juga masukkan tentang statistik jenayah yang dilakukan oleh pelarian ini.

“Ketika ini, Malaysia bukanlah penandatangan dan sebahagian daripada negara yang meratifikasi Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat semalam.

Persoalannya, kata beliau sejauh manakah peranan yang dimainkan oleh Jabatan Imigresen dan juga Polis Diraja Malaysia dalam mengesahkan kad-kad pelarian yang dikeluarkan oleh UNHCR ini?

“Adakah terdapat sebarang perancangan daripada pihak Kerajaan untuk meratifikasi dan menandatangani kedua-dua konvensyen ini pada masa akan datang?

“Sejauh manakah masalah pelarian di Malaysia ini akan dapat diselesaikan jika kita meratifikasi mana-mana konvensyen berkaitan dengan pelarian?” soalnya.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang juga bersimpati dengan nasib mereka yang majoritinya datang dari kawasan bergolak, terpaksa melarikan diri dari negara asal disebabkan oleh konflik selain menyelamatkan diri daripada dibunuh.

“Namun begitu, kita perlu ‘seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’. Dalam dalam masa yang sama, jangan sampai ‘kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan’.

“Satu dasar yang jelas dan penyelesaian yang tuntas perlu dirangka oleh pihak Kerajaan bagaimana kita hendak mengurus pelarian dan pencari suaka ini.

“Kita tidak mahu sampai satu tahap, Malaysia akan mendapat jolokan negara pelarian, bilamana jumlah pelarian yang ada di negara kita menyamai dengan etnik-etnik minoriti yang ada,” katanya.

Soal beliau lagi, bagaimana pula dengan hak rakyat Malaysia yang terganggu dengan kehadiran pelarian ini?

“Bagaimana pula dengan soal ketenteraman awam dan keselamatan yang terancam di sesetengah kawasan yang mempunyai ramai pelarian?

“Berapa banyak pasar-pasar borong dan rumah-rumah kedai yang sudah dimonopoli oleh golongan pelarian ini?”

Jelasnya, sentiasa menyokong penuh apa sahaja usaha untuk menegakkan hak-hak kemanusian, tapi jangan pula demi pelarian, hak rakyat Malaysia ini pula yang terganggu dan dicabuli. – UMNO Online

Show More

Related Articles

Back to top button