Naratif Kito

Jalan damai adalah kebahagiaan, jalan perang adalah kemusnahan

Ahmad Shahir Mohd Shah

Tidak ada perang yang membahagiakan. Perang antara suami-isteri juga menyakitkan. Jika yang tersakiti itu isteri, panjanglah merajuknya.

Jika yang tersakiti itu suami, habis rokok sebatang eloklah “moodnya”. Tetapi bukan perang “laki-bini” yang menjadi ukuran.

Peperangan antara 2 negara dalam era moden ini lebih ditakuti kerana ia akan melibatkan banyak perkara yang diluar kemampuan manusia untuk mengawalnya tetapi mampu dilakukan kerana adanya peralatan perang yang canggih.

Oleh kerana kita adalah umat Islam, sudah pasti kita akan dipertanggungjawabkan untuk menjaga setiap nyawa manusia.

Maka Islam bukan penganjur kepada peperangan.

Tetapi Islam mengarahkan untuk bersiap sedia untuk berperang jika mendapat ancaman. Itu perintah Al-Quran.

Walau bagaimanapun, memilih perdamaian itu adalah tuntutan dalam Islam.

Maksud Islam itu sahaja sudah memberi jawapan kepada penolakan perang. Islam itu sejahtera. Islam sentiasa meletakkan darjat yang sangat tinggi kepada manusia.

Bukan semua itu untuk mengancam nyawa seseorang manusia.

Sejarah perang dunia tidak ada yang boleh dibanggakan. Negara yang menang dahulu terpaksa menanggung kerugian yang maha besar.

Kehilangan jutaan nyawa. Runtuhnya bangunan yang telah dibina. Hilangnya generasi yang sepatutnya membangun negara. Lahirnya generasi Post Trauma Syndrome Disease (PTSD).

Hangusnya wang ringgit yang menyebabkan ada negara yang sanggup menggadai negara kepada pihak-pihak pemodal.

Erti kata lain, kesan rantaian perang adalah kerugian yang sangat dahsyat. Walaupun tema perang itu adalah untuk menjaga maruah sesebuah negara, tetapi kesan peperangan itu telah terbukti satu ke fasa dan yang tidak boleh dikawal.

Pepatah melayu, “Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu” memang sesuai untuk menggambarkan situasi pasca perang.

Tiada apa yang boleh dibanggakan jika hasilnya arang dan semua sudah tahu yang abu itu keadaan yang paling teruk dan tidak boleh dibaiki.

Jika perang zaman dahulu yang menggunakan meriam dan senapang pun sudah buatkan sebuah kota itu hancur, bayangkan hari ini jika perang nuklear tercetus. Ia akan mengabsahkan pepatah melayu yang menyebut tentang yang kalah jadi abu.

Sebab selepas meletupnya bom nuklear, impaknya adalah permukaan letupan akan berubah menjadi abu yang hancur walaupun asalnya adalah bangunan besar yang tersergam indah.

Tiada siapa yang boleh menghalang kehancuran yang berlaku jika bom nuklear meletup. Inilah kesan peperangan yang menggunakan bom nuklear.

Hari ini, terdapat sembilan negara yang mempunyai bom nuklear Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom, Perancis, India, Pakistan, Korea Utara, dan Israel.

Kesemua mereka memiliki keupayaan untuk melancarkan serangan yang boleh mengubah landskap dunia dalam masa kurang satu jam.

Dunia ini boleh hancur jika mereka berperang antara sendiri.

Oleh sebab itu, mencari pendamaian adalah tugas semua pemimpin dunia. Jika ada yang berahi untuk tekan butang bom nuklear, sudah pasti dunia ini akan hancur.

Tak perlu 1 jam. Cukup 30 minit. Kita tidak perlukan pemimpin yang gelojoh dan yang suka bermusuh. Malaysia sudah menunjukkan cara untuk keluar dari setiap konflik. Runding dan sepakat.

Medan untuk menyelesaikan perbalahan adalah dengan duduk berunding. Jangan kerana mahu mendabik dada, tiada sedikit pun ruang untuk berunding.

Kebetulan ditengah-tengah konflik timur dan barat, berlaku ketegangan di rantau Asia tenggara.

2 negara jiran Malaysia mula berperang di sempadan mereka, Thailand dan Kemboja.

Maka, Malaysia menjadi pendamai yang menyebabkan rakyat negara tersebut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia. Apakah perkara ini dilihat kecil?

Tidak. Ia adalah usaha yang sangat besar dan telah menyelamatkan ribuan nyawa orang awam.

Fokus kita sekarang adalah untuk mengubah cara berfikir umat manusia di sekeliling kita terutamanya rakyat Malaysia.

Bagi kita di Malaysia, cara hidup bermasyarakat yang berbilang bangsa dan latar budaya yang berbeza telah membuatkan kita mudah menerima perbezaan walaupun kadang-kadang ada juga watak yang suka mencetus perbalahan.

Pasca Iran-Israel boleh disimpulkan dengan  dua perkara penting. Pertama, keamanan hanya akan tercapai jika nilai manusiawi menjadi pilihan majoriti.

Kedua, kehancuran dan kemusnahan hanya dapat dilihat selepas runtuhnya nilai kemanusiaan dalam diri majoriti umat. Itulah yang boleh kita lihat kesan awalnya di bumi Gaza. Walaupun Iran dan Israel berperang, tetapi sasaran asal Israel tetap ke atas Gaza.

Mungkin pergelutan dengan Iran motifnya berbeza. Tetapi pembantaian ke atas rakyat Gaza adalah kerana nilai manusia Israel berada pada paras terendah dalam jiwa mereka.

Hakikatnya Malaysia bukan wilayah ‘Harbi’ atau perang. Walaupun ada kelompok yang menggelar sesetengah rakyat Malaysia sebagai “Kafir Harbi” sebab berbeza parti politik.

Malaysia tetap bukan wilayah perang. Perkara ini yang perlu dijelaskan secara berterusan kepada generasi muda untuk mereka memahami bahawa menyatakan istilah ‘Harbi” itu sesuatu yang bahaya dan sangat mengundang kepada permusuhan antara rakyat yang berbilang agama dan fahaman budaya.

Malaysia memilih untuk menjadi negara yang aman. Peraturan hidup di Malaysia sangat mudah.

Semua rakyatnya wajib mematuhi perlembagaan negara seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara.

Walaupun ada yang memilih untuk hidup dalam keadaan berprasangka, tetapi majoriti rakyat mesti mempertahankan cara fikir dan cara hidup yang mengutamakan keamanan dan kedamaian.

Malaysia sudah lengkap dengan sistem peraturan yang mampu mengurus setiap rakyatnya untuk hidup dalam keadaan aman.

Pengalaman-pengalaman lalu sejak Rusuhan 13 Mei, Peristiwa Memali, Serangan Bukit Jenalik, Serangan Puak Sulu di Lahad Datu sudah boleh dijadikan sebagai kes rujukan untuk memastikan tiada lagi unsur-unsur pemberontakan dalaman di Malaysia. Jenayah mungkin akan terus berlaku.

Tetapi membiarkan sesuatu jenayah terancang berlaku sehingga menyebabkan berlakunya kekacauan dan kemusnahan kepada rakyat dan negara, itu satu yang tidak boleh diizinkan.

Malaysia bukan negara perang. Malaysia tidak mengizinkan peperangan. Malaysia bukan tanah untuk berperang.

Malaysia tanah yang barakah yang penuh dengan keamanan dan kedamaian.

Ahmad Shahir Mohd Shah
Ketua Editor
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button