JPKK Felda Palong 3 terima sumbangan mini traktor daripada Pak Mus

PALONG: Suasana di Kolam Rekreasi Felda Palong 3 pada petang sambutan Hari Kebangsaan cukup meriah apabila berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah Program Memancing yang telah menarik penyertaan ramai penduduk setempat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyerahan mini traktor dan jentera EV yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato’ Mustapha Nagoor (Pak Mus).
Dalam ucapannya, Pak Mus menegaskan bahawa usaha sebegini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kemudahan serta mempertingkatkan pembangunan komuniti, khususnya di kawasan Felda.
“Penyerahan mini traktor dan jentera EV kepada JPKK Felda Palong 3 ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam mendukung aktiviti pertanian moden, selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh tradisional.
“Pembangunan komuniti Felda mesti bergerak seiring dengan perubahan teknologi.
“Dengan adanya jentera EV, kita bukan sahaja menjimatkan kos operasi malah turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar,” ujar beliau.
Penduduk yang hadir nyata teruja dengan gabungan program santai memancing dan inisiatif penyerahan peralatan moden ini, yang sekali gus menambah nilai kepada kehidupan masyarakat setempat.
Inisiatif ini dijangka memberi impak positif dari segi produktiviti pertanian, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan serta semangat muafakat warga Felda Palong 3.