Kawasan banjir kilat dapat perhatian Gunasekaren

SEREMBAN JAYA: Kawasan Karaikudi, Kampung Baru Rahang yang mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren.
Gunasekaren berkata, satu lawatan tapak telah diadakan bagi melihat sendiri kawasan tersebut setelah mendapat aduan daripada penduduk setempat.
“Lawatan yang diadakan ini adalah untuk mengenal pasti punca sebenar masalah banjir yang kerap berlaku.
“Saya telah berbincang bersama Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Ir. Ts. Masri Baharuddin supaya penyelesaian segera dapat dilakukan demi kesejahteraan penduduk.
“Saya berharap kerjasama yang terjalin bersama dengan Pihak berkuasa Tempatan (PBT) ini dapat membawa satu keputusan yang positif.
“Ini juga adalah komitmen kita untuk membuktikan bahawa setiap isu masyarakat setempat akan terus dibela dan diusahakan jalan penyelesaiannya,” kata Gunasekaren.