Kebajikan warga emas jadi keutamaan di Ampangan

AMPANGAN: Kebajikan warga emas terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, selaras dengan komitmen beliau dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terbela.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Pilah ke pejabatnya di Pusat Khidmat DUN Ampangan, yang disifatkan sebagai satu pertemuan bermakna dan mencerminkan semangat kerjasama serta keprihatinan bersama.
“Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka itu membincangkan pelbagai perkara berkaitan peluang kerjasama, selain bentuk bantuan dan sokongan yang boleh disalurkan khususnya kepada golongan warga emas di kawasan berkenaan.
“Pendekatan kepimpinan berteraskan sikap mendengar, memahami dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan akan terus menjadi asas dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Dalam masa yang sama, saya turut berkesempatan menyantuni warga Ampangan yang hadir serta menyampaikan cendera hati sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap sokongan masyarakat setempat.
“Hubungan yang rapat, sikap ramah serta sentuhan kemanusiaan akan terus menjadi keutamaan beliau dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, selari dengan usaha berterusan ke arah kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di DUN Ampangan,” kata Tengku Zamrah.



