Berita

Kediaman Rasmi Undang Luak Sungei Ujong Diarah Kosong Serta-Merta

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Krisis melibatkan institusi adat di Negeri Sembilan terus memuncak apabila kerajaan negeri didakwa mengarahkan kediaman rasmi serta Balai Undang Luak Sungei Ujong dikosongkan serta-merta.

Perkara itu susulan tularnya sepucuk surat yang dipercayai dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April, yang mengarahkan pengosongan premis berkenaan.

Kediaman rasmi itu sebelum ini telah didiami oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.

Menurut kandungan surat berkenaan, arahan pengosongan dibuat selaras dengan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan pada 17 April lalu.

“Sehubungan itu, pihak tuan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta.

“Semua aset-aset kerajaan negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak,” menurut surat tersebut.

Surat itu dipercayai ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.

Sementara itu, sumber terdekat dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan turut mengesahkan kesahihan surat yang kini tersebar luas di media sosial.

Terdahulu, krisis adat di Negeri Sembilan menjadi perhatian apabila Undang Yang Empat mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pengumuman sama, Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, turut diumumkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa serta fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tindakan itu tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Show More

Related Articles

Back to top button