YB Kita

Sampah berleluasa di Bandar Baru Nilai, tindakan tegas akan diambil

NILAI: Masalah pembuangan sampah secara tidak terkawal di kawasan luar CLQ, Bandar Baru Nilai mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar yang turun padang meninjau keadaan tersebut bersama pihak berkuasa tempatan.

Lawatan itu turut disertai Pengarah SWCorp Negeri Sembilan serta pegawai Majlis Bandaraya Seremban bagi menilai tahap kebersihan di kawasan berkenaan yang dilaporkan dipenuhi sampah di sepanjang jalan.

Menurut Arul Kumar, sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab menjadi punca utama masalah tersebut terus berlarutan meskipun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan sebelum ini.

“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, sama ada dalam kalangan warganegara Malaysia mahupun warga asing.

“Namun masih ada yang membuang sampah merata-rata walaupun mengetahui perbuatan itu adalah salah dan boleh dikenakan denda,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta perintah khidmat masyarakat selama 12 jam.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan SWCorp supaya mempertingkatkan penguatkuasaan termasuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah.

“Saya telah meminta SWCorp untuk mengambil tindakan dengan menangkap sesiapa sahaja yang membuang sampah melalui pemasangan CCTV atau penyamaran, seterusnya mengenakan denda serta perintah khidmat masyarakat.

“Isu tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan pelbagai kaedah telah digunakan bagi menanganinya. Namun keadaan didapati semakin meruncing sehingga memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas.

“Pihak berkuasa berharap tindakan tersebut dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran,” ujar Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button