Pelarasan Perbelanjaan Hanya Libatkan Kos Tidak Kritikal, Perkhidmatan Asas Kekal – MOF

SEREMBAN: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa pelaksanaan panduan pelarasan perbelanjaan ketika ini hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Menurut kenyataan MOF, perbelanjaan teras tersebut meliputi kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menerima antara peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini.
“Panduan pelarasan ini merangkumi langkah seperti penangguhan penganjuran acara, menghadkan kunjungan serta latihan ke luar negara, penjimatan utiliti dan pengoptimuman rizab simpanan agensi.
“Manakala, pengisian jawatan tidak kritikal turut ditangguhkan sebagai sebahagian daripada usaha mengurus kewangan negara secara berhemah,” katanya.
MOF menjelaskan langkah pelarasan ini dilaksanakan selaras dengan keutamaan kerajaan untuk mewujudkan ruang fiskal bagi membiayai bantuan dan subsidi bersasar, khususnya bagi melindungi golongan serta sektor rentan yang terkesan akibat Krisis Bekalan Global.



