Berita

UMNO Hormati Pendirian ADUN BN, Komited Sokong Kestabilan Kerajaan Negeri

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: UMNO Malaysia menghormati pendirian Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun mengambil maklum pendirian tersebut, UMNO Malaysia memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi memastikan kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Keputusan itu dibuat selepas UMNO Malaysia mendengar penjelasan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung tindakan ADUN-ADUN BN yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, yang didakwa berkait dengan isu melibatkan Institusi Adat serta Undang-Undang Tubuh Negeri.

“UMNO sentiasa berpegang teguh kepada Perlembagaan parti, khususnya Fasal 3.1 yang menegaskan komitmen mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia, malam tadi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa parti itu memandang serius perkembangan semasa yang melibatkan Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan, yang telah mencetuskan polemik serta salah faham dalam kalangan komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Sehubungan itu, UMNO mencadangkan agar satu pertemuan segera diadakan antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan bagi membincangkan serta merungkai isu-isu berbangkit yang melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing.

Langkah tersebut selaras dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang menetapkan bahawa sebarang perbezaan dasar hendaklah diselesaikan melalui platform Majlis Perundingan.

Show More

Related Articles

Back to top button