Sokongan Terhadap Aminuddin Kukuh, MEMO dan SEKPUR Tolak Gerakan ‘Tebuk Atap’

SEREMBAN: Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) bersama Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pendirian itu dinyatakan menerusi satu memorandum rasmi yang diserahkan di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, hari ini.
Menurut Pengerusi MEMO dan SEKPUR, Mustapa Mansor bersama Timbalan Pengerusi, Shahbudin Embun, sokongan tersebut turut disertai beberapa pertubuhan lain sebagai tanda solidariti terhadap kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.
“Tindakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa cuba mencetuskan gerakan ‘tebuk atap’ disifatkan sebagai serius dan berpotensi menjejaskan kestabilan politik negeri.
“Mereka ini dilihat memperlekeh institusi diraja apabila membelakangi keputusan Dewan Keadilan dan undang-undang yang dipengerusikan DYMM Tuanku.
“Selain itu, tindakan menarik sokongan dalam tempoh kurang setahun sebelum pilihan raya juga dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat rakyat,” katanya.
Tambahnya, sebarang kerjasama tanpa restu pucuk pimpinan parti juga merupakan pelanggaran disiplin yang jelas serta lebih mementingkan agenda peribadi berbanding kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, MEMO dan SEKPUR turut menyatakan komitmen untuk menggerakkan aset digital termasuk platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan X bagi menangkis naratif yang disifatkan mengelirukan rakyat.
“Kami akan menggunakan kekuatan media sosial untuk mendedahkan dalang di sebalik gerakan ini serta mempertahankan kestabilan kerajaan negeri,
“Fokus kerajaan negeri seharusnya kekal kepada usaha menangani kos sara hidup dan tekanan ekonomi global bukannya melayani kemelut politik yang boleh menjejaskan pembangunan negeri.
“Pada masa sama, kami menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar demi memastikan kelangsungan pembangunan yang harmoni” katanya.
Dalam kenyataan sama, MEMO dan SEKPUR turut memberi amaran kepada pihak tertentu supaya menghentikan segera gerakan yang disifatkan tidak demokratik itu.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk terus menggerakkan suara rakyat di medan digital bagi mempertahankan mandat yang sah,” katanya.
Melalui memorandum ini menunjukkan bahawa mereka kekal konsisten dalam mempertahankan kepimpinan sedia ada serta menolak sebarang usaha yang boleh menggugat kestabilan politik negeri, di samping menegaskan komitmen untuk memastikan mandat rakyat terus dihormati dan dipelihara.



