Pemecatan YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam tidak sah: Ismail

KUALA KLAWANG: Ketua Kepala Adat Luak Jelebu, YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sahari Ismail Md Zin menegaskan bahawa tindakan pemecatan terhadap beliau sebagai Ketua Kepala Adat Luak Jelebu adalah tidak sah menurut hukum dan aturan adat yang berkuat kuasa.
Dalam satu sidang media di sini, beliau berkata pemecatan yang didakwa dilakukan oleh Undang Luak Jelebu, YTM Dato’ Mendika Akhirulzaman Maarof Mat Rasad tidak mematuhi Undang-Undang Adat Luak Jelebu 1912.
“Adalah dengan ini ditegaskan bahawa tindakan pemecatan tersebut adalah tidak sah menurut hukum dan aturan Undang-Undang Adat Luak Jelebu 1912.
“Tindakan itu cacat dari segi prosedur adat kerana tidak melalui saluran yang sepatutnya, termasuk tidak dirujuk kepada YM Ibu Soko, tidak mendapat persetujuan YM Buapak-Buapak, serta tidak diperakui oleh Anak Waris Luak Jelebu.
“Pemecatan tersebut terbatal kerana tidak memenuhi keperluan muafakat dan perakuan struktur adat yang sah,” katanya.
Menurut beliau, dalam amalan Adat Perpatih di Luak Jelebu, kuasa pemecatan jawatan pusaka bukan terletak kepada YTM Undang semata-mata, sebaliknya merupakan hak mutlak YM Ibu Soko.
“Kuasa pemecatan jawatan YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam bukan hak mutlak YTM Undang, sebaliknya adalah hak mutlak YM Ibu Soko selaras dengan amalan Adat Perpatih Luak Jelebu,” tegasnya.

Mengulas kedudukan semasa, Ismail menegaskan bahawa beliau masih sah memegang jawatan YM Dato’ Menteri Luak Jelebu berdasarkan perakuan rasmi daripada YM Ibu Soko, sokongan YM Buapak-Buapak serta pengiktirafan Anak Waris Luak Jelebu yang hadir.
Beliau berkata perkara itu turut dirujuk melalui surat rasmi bertarikh 13 Mac 2024 oleh YM Tok Lela Raja Buapak Nan Tua Waris Menteri, Luak Jelebu kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Sidang media hari ini diadakan bagi menyampaikan maklumat yang benar dan sahih kepada pihak berkuasa termasuk DKU dan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhubung kedudukan sebenar menurut Aturan Adat di Luak Jelebu.
“Tujuan utama adalah untuk memastikan keutuhan Adat Perpatih di Luak Jelebu terus terpelihara dan tidak dinodai oleh pihak berkepentingan.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak mencampuri urusan adat tanpa asas dan kuasa yang sah serta menghormati struktur dan hierarki Adat Perpatih yang telah sekian lama menjadi tunjang pemerintahan Luak Jelebu.



