Sukan pupuk nilai displin dan kerjasama pelajar

KUALA KLAWANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Dato’ Ir. Bakri Sawir merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang (SKKK) 2026 dalam satu acara yang berlangsung meriah dengan penyertaan aktif warga sekolah dan ibu bapa.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan atas jemputan yang diberikan serta menyifatkan peluang tersebut sebagai amat bermakna kerana dapat menyaksikan sendiri semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh para pelajar.
“Saya mengucapkan terima kasih atas jemputan untuk menghadiri dan merasmikan majlis ini.
“Peluang ini amat bermakna kerana saya dapat melihat sendiri semangat kesukanan pelajar serta komitmen tinggi pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa dalam menjayakan kejohanan ini,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan sukan tahunan seperti ini bukan sahaja memupuk nilai disiplin dan kerjasama dalam kalangan pelajar, malah berperanan penting dalam melahirkan generasi yang sihat dan berdaya saing.
“Semoga budaya sukan ini dapat melahirkan generasi yang sihat dan berdaya saing,” tambah beliau.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.



