Berita

Tampin MTB Jamboree 2026 Edisi Gemas tarik lebih 1,200 peserta

TAMPIN: Program Tampin MTB Jamboree 2026 (Edisi Gemas) anjuran Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan berjaya menarik penyertaan seramai 1,265 peserta sepanjang dua hari penganjurannya pada 2 hingga 3 Mei lalu.

Program tersebut diadakan bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dengan memilih Galeri Stesen Kereta Api Lama Gemas sebagai lokasi utama, sekali gus memperkenalkan kawasan bersejarah itu sebagai destinasi pelancongan baharu di daerah berkenaan.

Menurut penganjur, pemilihan lokasi tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri transformasi kawasan yang dahulunya terbiar kepada sebuah tarikan pelancongan yang menarik.

“Program ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal, malah membuka ruang untuk memperkenalkan produk pelancongan tempatan kepada peserta dan pengunjung,” menurut kenyataan penganjur.

Pada 2 Mei, acara dimulakan dengan Push Bike Challenge yang melibatkan penyertaan kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur.

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud di Masjid Jamek Pekan Gemas.

Kemuncak program pada 3 Mei menyaksikan pelepasan peserta jamboree sejauh 42 kilometer bermula seawal jam 7.30 pagi, dengan laluan mencabar yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.

Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Isnizawati Muhammad Khairuddin; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Ahmad Syariffudin Sarmin; Ketua Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Kecil dan Tanah Gemas, Hazwani Ahmad serta wakil-wakil jabatan berkaitan.

Daripada jumlah keseluruhan penyertaan, seramai 1,121 peserta adalah dari dalam negara manakala 144 lagi merupakan peserta antarabangsa dari Singapura, Filipina, Indonesia, United Kingdom dan Australia.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

“Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button