Bekalan Minyak dan Gas Negara Kekal Terjamin, Kerajaan Seimbangkan Tekanan Harga Global – Anwar
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Bekalan minyak dan gas negara kekal terjamin meskipun pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan ketika ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan tersebut disokong oleh hubungan diplomatik kukuh Malaysia dengan beberapa negara pengeluar tenaga serta kerjasama strategik bersama Petronas.
“Malaysia berada dalam kedudukan yang baik dari segi bekalan tenaga, namun cabaran utama ketika ini adalah kenaikan harga minyak dunia yang berada di luar kawalan negara.
“Malaysia antara negara yang bekalan minyak dan gasnya terjamin hasil hubungan baik dengan negara seperti Iran, Rusia dan Turkmenistan.
“Bagaimanapun, cabaran yang kita hadapi adalah peningkatan harga global yang memberi kesan kepada kos negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini hari ini.
Turut hadirdalam majlis tersebut ialah, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurutnya, walaupun bekalan tenaga stabil, kerajaan tetap berdepan tekanan kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan langsung kepada kos subsidi bahan api.
“Perkembangan geopolitik global serta gangguan rantaian bekalan memerlukan kerajaan menyeimbangkan keperluan melindungi rakyat dengan kedudukan fiskal negara.
“Oleh kerana negara kita berbaik dengan Iran, Malaysia merupakan antara negara yang diberikan laluan awal. Setelah Presiden Iran menghubungi dan memaklumkan kepada saya. Dengan Rusia kita ada hubungan baik.
“Dengan Turkmenistan, Uzbekistan yang kita ada hubungan yang baik sekian lama, beri jaminan,” tambahnya.
Anwar juga menegaskan, kerajaan perlu mengawal kesan kenaikan harga agar tidak membebankan rakyat termasuk mengekalkan harga RON95 serta menyelaras subsidi diesel secara bersasar.
“Kita terpaksa berdepan dengan harga minyak di Malaysia. Malaysia masih pertahankan RON95. Sebab itu saya datang tadi tengok belakang masih senyum.
“Katalah naik RON95, saya percaya senyuman pun sudah tawar (ketawa). Jadi masih lagi senyum. Cuma kita turunkan daripada 300 ke 200… (merujuk BUDI95),” ujarnya.



