Kerajaan pantau tawaran badal haji mencurigakan

BACHOK: Kerajaan terus mempergiat pemantauan terhadap sebarang tawaran mencurigakan berkaitan perkhidmatan badal haji, khususnya yang dipromosikan menerusi media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata langkah itu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak menjadi mangsa penipuan, terutama menjelang penghujung musim haji.
“Setakat ini pihak berkuasa belum menerima sebarang aduan berkaitan penipuan badal haji, namun pemantauan tetap dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji termasuk di platform media sosial serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa merujuk kepada pihak berwajib untuk mengesahkan sebarang tawaran atau maklumat bagi mengelakkan kerugian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Kampung Telong, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran badal haji yang meragukan, terutama yang ditawarkan pada harga jauh lebih rendah daripada kos sebenar.
Katanya, kos menunaikan ibadah haji adalah tinggi dan tawaran tidak munasabah dikhuatiri tidak memenuhi rukun serta wajib haji yang ditetapkan.
Sementara itu, projek pemerkasaan berkenaan melibatkan penyertaan 30 wanita daripada Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan bagi meningkatkan kemahiran serta membantu mereka menjana pendapatan melalui penghasilan dan pemasaran produk bakeri dan pastri.



