Keputusan Kerajaan Dibuat Secara Kolektif, Bukan Ikut Telunjuk Mana-Mana Parti

SEREMBAN: Setiap keputusan yang dibuat dalam Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan mahupun negeri adalah hasil perbincangan dan persetujuan secara kolektif, bukannya dipengaruhi atau ditentukan oleh mana-mana parti komponen secara bersendirian.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap parti dalam gabungan mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan, namun keputusan akhir dibuat berdasarkan pertimbangan kepimpinan demi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Menurut beliau, proses membuat keputusan itu turut diamalkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Negeri Sembilan yang mengutamakan semangat muafakat dalam kalangan parti-parti komponen.
“Sudah tentu kita berbincang apa sahaja dalam gabungan politik dan memberikan pandangan. Tidak akan kita hendak duduk membisu sahaja.
“Kita bagi pandangan, UMNO juga bagi pandangan tetapi akhirnya Perdana Menteri selaku Pengerusi Jemaah Menteri akan membuat pertimbangan kesemua pandangan dan membuat keputusan yang adil, bukannya ikut telunjuk mana-mana pihak, begitu juga Menteri Besar di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Celik MADANI dan Dharma MADANI Zon Selatan di sini, hari ini.
Anthony berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dikaitkan dengan dakwaan kononnya masyarakat Melayu akan terancam sekiranya bukan UMNO-Barisan Nasional (BN) mentadbir Negeri Sembilan.
Menurut beliau, dakwaan sedemikian merupakan naratif politik lama yang tidak lagi relevan memandangkan Kerajaan Negeri sejak tahun 2018 terus melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
“Menteri Besar tetap orang Melayu dan program serta dasar kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat termasuk orang Melayu terus dilaksanakan sejak Pakatan Harapan mentadbir negeri ini pada 2018.
“Selalu kata Melayu terancam, ini taktik lama. Apa yang terancam? Di Negeri Sembilan semuanya baik sahaja,” katanya.
Anthony berkata, masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sendiri mampu menilai keadaan sebenar di negeri itu dan mengetahui sama ada dakwaan berhubung ancaman terhadap orang Melayu mempunyai asas atau sebaliknya.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP sering dijadikan sasaran pelbagai tuduhan berunsur perkauman walaupun dakwaan tersebut tidak berlandaskan fakta.
“Apa yang orang Melayu terancam di Negeri Sembilan? Tanya orang Melayu di negeri ini. Yang saya pelik, pemimpin-pemimpin yang memainkan sentimen kaum ini, tidak ada skrip atau alasan lain selain menyalahkan DAP?” katanya.
Sehubungan itu, Anthony berharap semua pihak, termasuk Khairy, dapat membawa pendekatan politik yang lebih progresif dan berteraskan perpaduan dengan mengutamakan usaha membangunkan negara serta kesejahteraan rakyat, berbanding terus memainkan sentimen perkauman sebagai modal politik.



