RM3 Juta Manfaatkan Komuniti India Zon Selatan Melalui Program Pendidikan dan Rumah Ibadat

SEREMBAN: Seramai 841 kanak-kanak India daripada keluarga B40 di Zon Selatan bakal menerima manfaat pendidikan awal menerusi Program Celik MADANI 2026 yang menyediakan bantuan yuran tadika bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti sejak usia muda.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, bagi Zon Selatan yang merangkumi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, sebanyak RM2.05 juta diperuntukkan kepada 45 tadika bagi membantu kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.
“Inisiatif itu merupakan antara usaha Kerajaan MADANI untuk memecahkan kitaran kemiskinan melalui pendidikan awal, khususnya dalam kalangan masyarakat India.
“Pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah pelaburan jangka panjang yang akan membentuk generasi masa depan yang lebih berdaya saing dan berkemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Celik MADANI 2026 dan Dharma MADANI Zon Selatan di Dewan Wisma Ceylonese, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook.
Selain pendidikan, kerajaan turut menyalurkan RM960,000 kepada 48 rumah ibadat Hindu di Zon Selatan menerusi Program Dharma MADANI Siri 3 bagi menyokong usaha penyelenggaraan dan pembangunan kemudahan yang digunakan komuniti setempat.
Di peringkat nasional, Program Celik MADANI 2026 menyaksikan kelulusan peruntukan RM8.87 juta kepada 162 tadika yang memberi manfaat kepada 3,612 kanak-kanak India di seluruh negara.
Sementara itu, Program Dharma MADANI Siri 3 melibatkan peruntukan RM3.36 juta kepada 168 rumah ibadat Hindu, menjadikan jumlah keseluruhan kelulusan di bawah program tersebut sebanyak RM12.54 juta melibatkan 627 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
Ramanan berkata, pendekatan kerajaan bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi turut bertujuan memperkukuh institusi masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
Beliau berkata, melalui peranan MITRA, kerajaan akan terus memastikan bantuan disalurkan secara telus dan berkesan supaya lebih ramai masyarakat India mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan.
“Tumpuan kepada pendidikan awal dan pengukuhan institusi komuniti adalah antara langkah penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, progresif dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,”tambahnya.



