Berita

Kerajaan benarkan bekerja dari rumah tiga hari seminggu

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan kemudahan bekerja dari rumah (BDR) sehingga tiga hari seminggu kepada penjawat awam yang memenuhi syarat tertentu, berkuat kuasa mulai 15 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan bahawa kemudahan ini melibatkan pegawai yang bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta ibu negeri lain, dengan syarat jarak perjalanan sehala dari rumah ke pejabat melebihi lapan kilometer.

Pelaksanaan ini dibuat susulan situasi semasa di Asia Barat, selain berpandukan garis panduan yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia berkaitan dasar BDR.

Bagaimanapun, tidak semua sektor terlibat. Tiga bidang utama — keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan — dikecualikan daripada pelaksanaan ini.

Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari cuti mingguan, jadual BDR ditetapkan selama tiga hari berturut-turut dari Selasa hingga Khamis.

Sementara itu, bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bercuti pada hari Jumaat, BDR dilaksanakan dari Isnin hingga Rabu.

Sepanjang tempoh bekerja dari rumah, pegawai hanya dibenarkan menjalankan tugas dari alamat kediaman yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).

Selain itu, pemantauan kehadiran akan dilakukan melalui Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me), yang menggunakan fungsi geolokasi pada peranti mudah alih.

Pegawai diwajibkan merekod kehadiran setiap jam, manakala ketua jabatan bertanggungjawab memastikan pemantauan dilaksanakan dengan berkesan.

Show More

Related Articles

Back to top button