Berita

Kerajaan jamin bekalan makanan stabil

KUALA LUMPUR: Bekalan makanan negara kekal stabil dengan stok penimbal beras kini mencecah 300,000 tan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, selain itu pengeluaran ayam dan telur tempatan juga hampir mencapai kadar sara diri sepenuhnya, sekali gus membantu memastikan keperluan asas rakyat terus mencukupi.

Menurutnya, meskipun situasi semasa masih terkawal, kerajaan kekal berwaspada terhadap cabaran kenaikan kos makanan ternakan yang masih bergantung kepada import serta peningkatan harga bahan api.

“Untuk sayur, kadang-kadang berlaku lambakan sehingga harga jatuh.

“Pengguna suka, tetapi petani tertekan. Jadi kerajaan bantu melalui jadual penanaman dan sistem ladang kontrak.

“Bekalan ikan pula agak terjejas akibat cuaca panas dan kos nelayan meningkat, sebab itu kita perhebat akuakultur sebagai alternatif,” kata Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, kesan sebenar krisis bekalan global dijangka lebih dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, khususnya apabila kos baja, makanan ternakan dan bahan api terus meningkat.

“Mungkin harga makanan akan naik sedikit, tetapi kerajaan sedang berusaha memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak,” katanya.

“Pelbagai langkah telah diambil kerajaan bagi meringankan beban rakyat termasuk menambah stok beras, membuka kawasan sawah baharu, memperbaiki sistem pengairan serta membangunkan industri jagung tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Dalam masa sama, bantuan dan insentif turut disalurkan kepada petani, penternak dan nelayan bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan negara,” ujar beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button