BeritaMenarik

Kerajaan komited pastikan kelangsungan sektor pertanian dan keterjaminan makanan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat telah menjawab persoalan-persoalan utama yang dibangkitkan serta menggariskan strategi kementerian bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus kukuh.

“Kerajaan komited dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

“Langkah-langkah tegas telah diambil, termasuk penyelarasan harga lantai belian padi serta pengekalan harga beras putih tempatan. Komitmen ini akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Kerajaan juga sedar akan cabaran besar dalam industri padi, ini termasuklah isu kawalan harga, penguatkuasaan, dan infrastruktur pengairan, yang merupakan faktor penentu kejayaan sektor ini.

“Oleh itu, tadbir urus industri padi dan beras negara akan terus ditambah baik agar ia dapat berkembang secara pesat dan mampan,” kata beliau.

Menurut Mohamad, kerajaan melihat sektor pertanian, perikanan, dan agromakanan bukan sekadar sebagai sektor ekonomi, tetapi sebagai tunjang kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

“Isu ini bukan hanya mengenai hasil pertanian semata-mata, tetapi juga melibatkan pendapatan petani, harga makanan yang mampu milik, jaminan bekalan makanan, serta kelangsungan hidup berjuta-juta rakyat yang bergantung kepada sektor ini.

“Insya Allah, sektor agromakanan negara bukan sahaja akan bertahan, tetapi akan menjadi lebih kukuh, moden, dan berdaya saing demi masa depan rakyat dan negara,” kata Mohamad lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button