Kerajaan Negeri galak gaya hidup sihat di kalangan rakyat

SEREMBAN: EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Palong Dato’ Mustapha Nagoor telah mengadakan lawatan rasmi ke Padang Sintetik Seremban 2 baru-baru ini.
Lawatan tersebut diadakan bagi meninjau kemudahan padang sintetik yang menjadi antara infrastruktur penting dalam pembangunan sukan komuniti di negeri ini.
Menurut beliau, kemudahan seperti ini amat signifikan dalam menyediakan ruang yang selamat, selesa dan kondusif untuk golongan belia serta masyarakat setempat menjalankan aktiviti riadah dan sukan.
“Padang sintetik ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak muda untuk aktif bersukan, malah berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti tanpa mengira usia dan latar belakang,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat serta dijaga dengan baik bagi memastikan kelangsungan penggunaannya dalam jangka masa panjang.
Tambah beliau lagi, usaha memperkasa kemudahan sukan rakyat akan terus menjadi agenda utama dalam memastikan masyarakat Negeri Sembilan kekal aktif, sihat dan cergas.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan sukan akar umbi serta menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon.




