Berita

Komuniti Orang Asli Rasa Dihargai, Berterima Kasih Insentif Kerajaan Negeri

SEREMBAN: Tiga individu daripada komuniti Orang Asli menerima pengiktirafan dalam Majlis Penyerahan Insentif Geran Aktiviti Kampung Orang Asli Negeri Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Klana Resort, Seremban, hari ini.

Majlis itu turut meraikan tokoh kepimpinan serta kecemerlangan akademik masyarakat Orang Asli sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian di peringkat komuniti.

Antara penerima ialah Batin Adat Sungai Muar dari Kampung Orang Asli Jeram Padang, Azhar Bin Dal yang dianugerahkan ‘Tokoh Batin Menjaga Adat’ atas sumbangan beliau dalam memelihara adat serta menjadi rujukan masyarakat Orang Asli di kawasannya.

Turut menerima pengiktirafan ialah Pengerusi JawatanKuasa Pengurusan dan Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Kampung Orang Asli Belihoi, Tan Bali yang menerima insentif bagi peranan beliau menggerakkan program pembangunan kampung Orang Asli.

Selain itu, pelajar Orang Asli, Nur Hamirah Hassan yang memperoleh PNGK 3.67 dalam STPM di Sekolah Tuanku Muhammad turut diraikan atas pencapaian akademiknya.

Menurut Batin Adat Sungai Muar dari Kampung Orang Asli Jeram Padang, Azhar Bin Dal, beliau meluahkan rasa terharu selepas menerima Anugerah ‘Tokoh Batin Menjaga Adat’ serta insentif termasuk tambahan RM250 yang diumumkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, sambil menyifatkan ia sebagai penghargaan pertama kepada golongan batin adat.

“Pelbagai perubahan positif yang dibawa kerajaan negeri ketika ini justeru masyarakat perlu terus menyokong pentadbiran sedia ada.

“Saya memang amat terharu. Apa yang kerajaan bagi hari ini kita sebagai rakyat Negeri Sembilan, apa pun kita kena pertahankan kerajaan yang ada hari ini.

“Sebab lain daripada yang lain. Kebaikan dan perubahan kita dah nampak. Apa lagi yang kita cari,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Geran Aktiviti Kampung Orang Asli Negeri Sembilan Tahun 2026.

Azhar turut berpandangan kerajaan Negeri Sembilan ketika ini lebih mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli berbanding sebelum ini.

“Pandangan saya terhadap kerajaan negeri, memang sekarang ini saya nampak kerajaan mempertahankan dan mengambil berat perkampungan Orang Asli.

“Masalah Orang Asli pun banyak berubah, maksudnya ada perubahan dari semasa ke semasa,” katanya.

Azhar menegaskan bahawa masyarakat perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada kerana pelbagai perubahan telah dapat dilihat.

“Kita mesti pertahankan kerajaan yang ada hari ini. Sebab kita dah nampak kebaikan, apa lagi yang kita nak.

“Kalau kita tak nak, macam yang lepas-lepas, lima tahun pun dua Perdana Menteri bertukar, jadi kita pun dah tak tahu hala tuju,” katanya.

Mengulas mengenai insentif RM250 yang diterima, Azhar berkata beliau berasa gembira kerana ia merupakan sesuatu yang tidak pernah diterima sebelum ini oleh Batin Adat.

“Bila dapat RM250 ini saya rasa gembira. Sebelum ini kita tak pernah dapat.

“Batin adat ini menjaga luar dan dalam, bermacam cabaran. Bila dapat sumbangan ini rasa terharu, macam ada penghargaan.

“Sebelum ini kita tak dapat. Bila dah dapat, rasa lain,” katanya.

Apabila ditanya sekiranya berpeluang berjumpa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, Azhar hanya menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan pengiktirafan yang diberikan.

“Saya nak cakap terima kasih sahaja. Walaupun sumbangan tak besar, tapi bagi kami orang Asli dan batin adat, ia satu penghargaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKKOA, Tan Bali berkata insentif yang diterima dapat membantu memperkukuh pelaksanaan program pembangunan kampung Orang Asli melalui JPKK.

“Program geran ini dapat membantu daripada segi JPKK serta kampung-kampung Orang Asli untuk melaksanakan program bagi mempertingkatkan lagi kemajuan sesebuah kampung,” katanya.

Tan Bali turut meluahkan rasa gembira apabila menerima insentif tambahan RM250 yang diumumkan kerajaan negeri.

“Agak gembira sebab sebelum ini saya memang tak pernah dapat. Tapi bila dengar Menteri Besar nak bagi, saya rasa gembira juga.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kita,” katanya.

Manakala, penerima Anugerah Kecemerlangan STPM 2025 Pelajar Orang Asli, Nur Hamirah Hassan yang memperoleh PNGK 3.67 dalam STPM berkata sumbangan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Nur Hamirah (belah kanah) menerima Anugerah Kecemerlangan STPM 2025 yang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun

Nur Hamirah yang bercita-cita menjadi ‘database administrator’ berkata beliau akan menyambung pengajian dalam bidang sains komputer dan kejuruteraan komputer.

“Memang tak sangka dapat RM1,000. Sebab saya hanya memperoleh 3.67 sahaja, biasanya pelajar dengan PNGK 4.0.

Dengan sumbangan itu dapat meringankan beban untuk sambung belajar nanti,” katanya.

Nur Hamirah turut berimpian untuk menyambung pengajian di Sabah atau Sarawak serta berharap lebih ramai anak Orang Asli akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi membuktikan kemampuan mereka dalam bidang akademik.

Show More

Related Articles

Back to top button