Berita

Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan terima RM415,000 daripada Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyerahkan Insentif Geran Aktiviti Kampung Orang Asli Negeri Sembilan 2026 sebanyak RM415,000 kepada komuniti Orang Asli Negeri Sembilan di Klana Resort, hari ini.

“Geran aktiviti kepada Orang Asli ini dipecahkan kepada tiga kategori iaitu RM215,000 untuk pelaksanaan aktiviti masyarakat di 43 buah kampung Orang Asli.

“Keduanya, peruntukan RM100,000 untuk penganjuran program ‘Masyarakat Bersama Dengan Kepimpinan’.

“Ketiganya, untuk pertama kali pada tahun ini Karnival Orang Asli Negeri Sembilan akan dianjurkan.

“Untuk menjayakan karnival ini Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000,” jelas Aminuddin.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, walaupun keadaan ekonomi sentiasa berubah dan pelbagai cabaran perlu dihadapi, komitmen Kerajaan Negeri terhadap masyarakat Orang Asli tidak pernah berubah.

“Kerana bagi kami, pembangunan bukan mengenai siapa yang paling kuat bersuara.

“Pembangunan adalah memastikan setiap rakyat mendapat peluang yang adil untuk berjaya.

“Geran ini diwujudkan supaya lebih banyak program pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, beliau mahu melihat lebih banyak program belia, wanita, aktiviti pendidikan dan usaha memelihara budaya Orang Asli diadakan.

“Saya mahu lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan di kampung-kampung dan setiap ringgit yang disalurkan benar-benar diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat.

“Saya tidak mahu geran ini hanya menjadi angka di dalam laporan, tetapi saya mahu geran ini menjadi harapan.

“Geran ini seharusnya mampu melahirkan kampung yang lebih aktif dan pemimpin yang lebih berwibawa.

“Saya mahu geran ini melahirkan masyarakat Orang Asli yang semakin maju, berdikari serta dihormati,” kata Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button