Sim: Malaysia terus perkukuh hubungan ekonomi dengan Itali

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin menyempurnakan Majlis Perasmian Italy–Malaysia Business Mission 2026 di Mandarin Oriental Hotel di sini, sebagai usaha memperkukuh kerjasama perdagangan, pelaburan dan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Itali.
Dalam ucapannya, Sim berkata Malaysia kekal komited sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing serta hab strategik untuk menembusi pasaran ASEAN.
“Malaysia kekal komited sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing serta hab strategik ke pasaran ASEAN.
“Kami melihat potensi kerjasama yang lebih luas dalam sektor bernilai tinggi seperti pembuatan termaju, teknologi, ekonomi digital dan tenaga hijau,” kata Sim.
Beliau turut menyambut baik kemajuan rundingan Malaysia–European Union Free Trade Agreement (MEUFTA) yang dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan antara Malaysia, Itali serta Kesatuan Eropah.
Menurut beliau, perkembangan itu mampu memperkukuh hubungan ekonomi dua hala selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
MITI dalam kenyataan menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan kementerian itu akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa bagi membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan yang memberi manfaat kepada ekonomi negara.




