Berita

Pakatan Harapan akan umum calon PRN-16 Negeri Sembilan sebelum 18 Julai

SEREMBAN: Pakatan Harapan sedang mencari tarikh yang sesuai bagi mengumumkan calon-calon Pakatan Harapan yang akan bertanding di 36 DUN pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan.

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Keadilan Negeri Sembilan telah menghantar senarai calon kepada Keadilan Pusat.

“Kita dah hantar senarai calon kepada Keadilan Pusat. Kita akan selaraskan senarai calon daripada Pakatan Harapan termasuk DAP dan Amanah.

“Kita sedang mencari satu tarikh untuk mengumumkan calon-calon Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

“Untuk DUN-DUN yang ditandingi Keadilan, ada DUN yang mempunyai permohonan menjadi calon seramai tiga orang, ada yang empat calon dan ada DUN yang menghantar lima calon untuk dipertimbangkan Keadilan Pusat.

“Kita terbuka. Ada yang melalui Majlis Pimpinan Negeri, ada yang terus kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden Keadilan) dan ada yang terus kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Parti (Pusat),” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Geran Aktiviti Kampung Orang Asli Negeri Sembilan 2026 kepada komuniti Orang Asli Negeri Sembilan di Klana Resort, hari ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya wartawan, Aminuddin berkata calon-calon yang menghantar permohonan untuk menjadi calon PRN-16 terdiri daripada orang lama parti, anak muda dan wanita.

Aminuddin berkata, kepimpinan Pakatan Harapan akan menentukan satu tarikh yang sesuai untuk pengumuman calon sebelum tarikh penamaan calon pada 18 Julai 2026 nanti.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button