Meth, Ketum Jadi ‘Pilihan’ Pemandu Kenderaan Perdagangan Kekal Cergas, 22 Positif Dadah Direman – AADK
SEREMBAN: Penggunaan dadah jenis methamphetamine (syabu) dan ketum dilaporkan semakin menjadi pilihan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan bagi tujuan kekal cergas ketika bertugas.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil Operasi Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Lebuhraya R&R Seremban (Arah Selatan) itu mendapati daripada 244 pemandu yang disaring, seramai 22 didapati positif dadah membabitkan 14 kes methamphetamine, dua ganja dan enam ketum.
“Paling membimbangkan, ketum kini menjadi trend baharu selain methamphetamine dalam kalangan pemandu yang mahu kekal tenaga ketika memandu,” katanya kepada pemberita sewaktu sidang media Ops Bersepadu Terhadap Kenderaan Perdagangan disini.
Ruslin berkata, keseluruhan kes yang dikesan melibatkan pemandu berusia lingkungan 26 hingga 61 tahun termasuk seorang pemandu bas pelancong yang didapati positif ketum.
Menurutnya, penggunaan bahan tersebut boleh memberi kesan rangsangan sementara, namun berisiko tinggi apabila pemandu hilang kawalan selepas kesan dadah berkurangan sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
“Daripada 244 orang yang disaring, 22 orang didapati positif. Kita dapati trend ini membimbangkan kerana ia melibatkan pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam,” katanya.
Ruslin berkata, AADK akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan serta rawatan terhadap individu terlibat bagi membendung masalah berkenaan daripada terus berleluasa.
Dalam pada itu, Ruslin menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat termasuk pemandu kenderaan perdagangan.
“Kita perlu mengambil tindakan kepada mereka yang mengambil dadah semasa memandu khususnya kenderaan perdagangan. Mereka yang positif akan dibawa untuk tindakan lanjut termasuk proses reman selama 14 hari bagi siasatan terperinci,” katanya.
Ruslin berkata, sepanjang tempoh reman itu, siasatan akan dijalankan termasuk mengenal pasti jenis dadah diambil, tempoh pengambilan serta latar belakang pekerjaan.
“Dalam tempoh reman itu kita akan kumpul semua data, dadah apa dia ambil, berapa lama dia sudah ambil, kerja di mana dan semua maklumat berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.
Tambah Ruslin, selepas laporan patologi diperoleh, individu terlibat akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut termasuk rawatan sama ada di pusat pemulihan atau institusi berkaitan.
Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Operasi Bersepadu Terhadap Kenderaan Perdagangan di seluruh negara dengan penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) serta agensi berkaitan.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly, sepanjang operasi dijalankan, hanya pemandu yang disahkan bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan di jalan raya.
“Pemandu yang didapati positif dadah melalui ujian saringan akan diambil tindakan oleh AADK mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasanya. Pada masa sama, JPJ akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap pemandu dan juga syarikat pengendali, termasuk menahan lesen vokasional PSV atau GDL bagi tujuan siasatan serta menggantung lesen memandu mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, syarikat pengangkutan turut dipertanggungjawabkan bagi memastikan pemandu yang digajikan mematuhi undang-undang.
“Laporan berkaitan juga akan dikemukakan kepada APAD untuk tindakan selanjutnya. Kegagalan mematuhi syarat lesen atau menggaji pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali.
“JPJ ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi. Justeru, operasi bersepadu dadah yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sektor pengangkutan dikendalikan oleh pemandu yang berintegriti, berdisiplin dan bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.



