Kontinjen Negeri Sembilan Raih Kejayaan Cemerlang di FKIM 2026
SEREMBAN : Kontinjen Negeri Sembilan mencatat pencapaian membanggakan pada Festival Kesenian Islam MAKSAK (FKIM) 2026 yang berlangsung di Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah di Kuantang, Pahang dari 20 hingga 24 Mei lalu.
Dalam pertandingan Tilawah Al-Quran, qariah Negeri Sembilan, Ratu Dangsari Basri berjaya menduduki tempat keempat dengan markah 91.5 peratus.
Sementara itu, wakil Dai Negeri Sembilan, Izzat Qiwamuddin Huzaizi turut mempamerkan persembahan cemerlang apabila meraih tempat kedua keseluruhan dalam pertandingan berkenaan.
Bagi acara Nasyid Kontemporari, kontinjen Negeri Sembilan sekali lagi menyerlah apabila berjaya meraih tempat kedua menerusi persembahan lagu Egois dengan kutipan markah sebanyak 86 peratus.
Kejayaan itu turut diserikan apabila kumpulan nasyid HijraOne dari Majlis Bandaraya Seremban memenangi Anugerah Persembahan Terbaik.
Festival yang dianjurkan oleh MAKSAK Malaysia itu menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah selain mencungkil bakat penjawat awam dalam bidang kesenian Islam.



