Berita

KPDN Rampas RM29,000 Penjualan Baja Tanpa Lesen di Seremban dan Kuala Pilah

SEREMBAN: Kira-kira RM29,000 nilai rampasan membabitkan barang kawalan berjadual komoditi baja dalam dua kes penjualan tanpa lesen sah di Seremban dan Kuala Pilah menerusi Ops Tiris 4.0 pada Isnin lalu.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, hasil pemeriksaan dan tangkapan tersebut disyaki menjual barang kawalan tanpa memiliki lesen menjual barang kawalan yang sah.

“Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM29,000 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya

Muhammad Zahir berkata, operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan itu melibatkan pemeriksaan ke atas premis yang menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual komoditi baja di seluruh negeri.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi pertubuhan perbadanan pula, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Sementara itu, KPDN Negeri Sembilan akan terus mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan seluruh segmen serta ekosistem perdagangan mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Orang ramai turut diseru supaya bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang ketidakakuran dan ketidakpatuhan berserta butiran aduan lengkap melalui saluran rasmi KPDN.

Show More

Related Articles

Back to top button