Berita

Krisis Tenaga Global: Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar Lindungi Rakyat

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguatkuasaan berintegriti mesti terus diperkukuh bagi memastikan ketirisan dan penyeludupan dapat dibanteras secara berkesan.

Melalui satu hantaran sosial media Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan tegas dan konsisten perlu dilaksanakan di semua peringkat tanpa kompromi demi menjaga kepentingan negara.

“Ketirisan dan penyeludupan tidak boleh dikompromi dan tindakan mesti lebih tegas serta konsisten di semua peringkat,” katanya

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat sempena perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NEES) yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan mengenai krisis tenaga global yang sedang melanda dunia susulan konflik di Asia Barat yang mengganggu rantaian tenaga dan aliran bekalan.

“Gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kos pengangkutan, insurans serta risiko keselamatan.

“Walaupun bekalan masih wujud, kos untuk membawanya ke pasaran melonjak dan kesannya dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia,” jelasnya.

Anwar berkata, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berdepan cabaran tersebut namun tekanan harga minyak dan bahan mentah global berada di luar kawalan negara.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan berhemah bagi menyeimbangkan perlindungan rakyat dengan keupayaan fiskal negara.

Mengulas langkah yang diambil, Anwar berkata kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar yang memberi manfaat kepada lebih 343,000 kenderaan pengangkutan barangan pada kadar RM2.15 seliter serta lebih 10,000 nelayan pada kadar RM1.65 seliter.

Selain itu, lebih 350,000 penerima di bawah inisiatif BUDI MADANI turut menerima bantuan tunai, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal menikmati harga diesel pada kadar RM2.15 seliter.

Menurutnya, perbelanjaan subsidi petrol dan diesel mencecah sehingga RM7 bilion bagi mengekang kos logistik dan harga barangan, dengan pelaksanaan penyasaran bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Dalam sektor makanan pula, kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada pendekatan kawalan harga yang lebih strategik bagi ayam dan telur, selain memperhebat penguatkuasaan terhadap kartel.

“Langkah ini memastikan harga kekal terkawal, malah ada ketika lebih rendah berbanding tempoh subsidi, di samping penjimatan disalurkan kepada golongan sasar seperti petani dan nelayan,” tambahnya.

Bagi subsidi elektrik, Anwar memaklumkan penstrukturan tarif dilaksanakan bagi melindungi 85 peratus pengguna domestik daripada kenaikan bil, dengan kira-kira 9 juta isi rumah menerima manfaat melalui insentif kecekapan tenaga.

Tambahnya, rebat RM40 turut diberikan kepada isi rumah miskin tegar serta bantuan khas kepada institusi pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

Dalam masa sama, mekanisme pelarasan automatik diperkenalkan bagi memastikan kos bahan api diurus secara adil tanpa membebankan rakyat.

“Dalam segala keterbatasan, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dasar dan pelaksanaan agar setiap langkah benar-benar meringankan beban rakyat, sambil memastikan ekonomi negara kekal stabil dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button