‘Dari trek ke pentas konvokesyen’: Shahril Aiman harumkan nama USIM dalam dunia olahraga
Nur Maisarah Mohd Zaimee

NILAI: Walaupun pentas Majlis Konvokesyen Ke-23 USIM menyaksikan ribuan graduan diraikan atas pencapaian akademik, kisah salah seorang graduan Sarjana Muda Matematik Kewangan dari Fakulti Sains dan Teknologi, Muhammad Shahril Aiman Mohd Noor, 23, membawa makna yang tersendiri.
Bukan hanya cemerlang dalam pengajian, Shahril juga merupakan nama yang cukup dikenali dalam arena olahraga apabila mewakili USIM dan negeri Terengganu di pentas kejohanan sukan berprestij, termasuk SUKMA.
Berbakat sejak bangku sekolah dan dibesarkan dalam keluarga yang kuat bernafas dengan dunia sukan di mana ayahnya, Mohd Noor Zakaria, merupakan guru dan jurulatih merentas desa dan olahraga di sekolah.
Perjalanan Shahril tidak terlepas daripada bimbingan dan inspirasi keluarga.
Malah, abangnya juga merupakan atlet bola baling yang aktif.
“Keluarga sangat menyokong saya dalam sukan dan tidak pernah menghalang minat saya, asalkan pelajaran tidak diabaikan,” katanya.
Membawa nama Terengganu ke SUKMA 2022, Shahril juga terus menggalas cabaran lebih besar apabila terpilih menyertai MASUM ke SIPMA 2023, selain mengumpul deretan kejayaan kecemerlangan: Pingat Emas Sirkit 1 Olahraga IPT 2022 (5000m), Pingat Gangsa SUKIPT 2024 (3000m lari berhalangan), serta Pingat Emas Varsity Track and Field Grand Final 2024 (3000m lari berhalangan).
Namun bagi anak kelahiran Terengganu ini, pengalaman yang paling manis adalah ketika berjaya menaiki podium SUKIPT 2024 dengan membawa pulang pingat gangsa sambil memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.
“Itu detik yang sangat saya hargai kerana saya dapat buktikan kepada diri sendiri bahawa usaha dan disiplin berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Di sebalik pencapaian itu, perjalanan Shahril tidak berjalan tanpa kesukaran.
Namun, antara detik paling mencabar baginya ialah apabila terpaksa bertanding tanpa persediaan rapi serta menyertai kejohanan ketika dirinya mengalami kecederaan lutut.
“Secara mental memang sangat mencabar, tetapi ia mengajar saya tentang ketabahan dan bagaimana seorang atlet perlu berjuang walaupun dalam keadaan sukar,” ujarnya.
Pandemik COVID-19 ketika tahun Tamhidi turut meninggalkan kesan yang mendalam terhadapnya.
PKP menyebabkan latihan terganggu, jauh dari jurulatih, tiada rakan sepasukan dan segala-galanya terpaksa dilakukan sendiri.
“Itu antara fasa yang membentuk saya. Ia menjadikan saya lebih kuat dari segi mental,” tambahnya lagi.
Disiplin Shahril sebagai atlet jelas terserlah melalui rutin hariannya.
Pagi dimulakan dengan latihan sebelum memasuki kelas dan sebaik tamat kuliah beliau kembali ke trek.
Walaubagaimanapun, jika kelas berakhir lewat, latihan malam pula menjadi pilihan.
Masa lapang pula diisi untuk menyiapkan tugasan akademik.
“Saya memang susun jadual latihan mengikut jadual kelas supaya saya tak tinggalkan salah satu.
“Akademik tetap penting,” katanya.
Bagi Shahril, sokongan pensyarah USIM juga menjadi antara faktor yang menguatkan perjalanan akademik dan sukannya.
“Pensyarah sentiasa memberi galakan setiap kali saya sertai pertandingan.
“Mereka sangat memahami komitmen saya sebagai atlet USIM,” katanya dengan penuh penghargaan.
Shahril juga mengakui rasa teruja setiap kali diberi peluang mewakili Terengganu dan USIM.
“Pentas SUKMA adalah pentas terbesar di Malaysia dan apabila saya terpilih, saya tahu saya perlu lakukan yang terbaik.
“Mewakili MASUM pula sangat mencabar kerana persaingan bersama atlet universiti lain memang sengit,” jelasnya.
Kini, selepas menggenggam segulung ijazah, Shahril meneruskan pengajian di UNISZA dalam Diploma Pascasiswazah Pendidikan, dengan harapan untuk melahirkan generasi atlet masa depan.
“Saya mahu terus menjadi atlet dan mungkin akan menceburi bidang kejurulatihan.
“Insya-Allah, saya mahu melihat lebih ramai atlet USIM mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan,” Shahril.
Shahril turut menitipkan pesanan kepada para atlet muda iaitu,
“Disiplinkan diri dalam latihan dan pelajaran.
“Susun jadual dengan baik, gunakan masa sebaiknya, dan jangan bandingkan diri dengan orang lain.
“Yang paling penting, sejauh mana pun kita pergi, jangan tinggalkan solat dan al-Quran,” ujar beliau.



