Laman Seremban Jaya kini berpagar, tingkat keselamatan pengunjung

SEREMBAN JAYA: Laman Seremban Jaya kini selesai dipasang pagar sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan pengunjung, khususnya kanak-kanak yang sering menggunakan kemudahan di kawasan riadah berkenaan.
Perkembangan itu dikongsikan seorang penduduk setempat menerusi media sosial yang memaklumkan kerja-kerja pemasangan pagar telah siap sepenuhnya.
Sebelum ini, laman tersebut ditutup sementara susulan aduan orang ramai berhubung isu keselamatan yang dibimbangi boleh mengundang risiko kepada pengunjung.
Berikutan aduan berkenaan, Majlis Bandaraya Seremban mengambil tindakan segera dengan menutup kawasan itu bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan.
Dengan pemasangan pagar tersebut, kemudahan riadah itu dijangka dapat kembali digunakan dalam keadaan lebih selamat dan terjamin.



