Berita

Lebih 1,000 peserta meriahkan Liga Penalti dan Netball Shootout Perpaduan di Seremban

SEREMBAN: Liga Penalti Perpaduan dan Netball Shootout Terbuka Negeri Sembilan 2025 yang dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, berjaya menghimpunkan lebih 1,000 pemain dan pengunjung di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Seremban, Sungai Gadut.

Program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang itu melibatkan penyertaan aktif pemain serta kehadiran ahli keluarga, rakan, dan komuniti setempat, sekali gus menyemarakkan suasana sepanjang penganjuran.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Komuniti MADANI Kampung Bahagia Jiboi, Ampangan bersama Komuniti Medan Rahang, dengan kerjasama ERAT Negeri Sembilan.

Ia turut disertai pasukan dari Negeri Sembilan, Lembah Klang, Melaka, selain negeri dari Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Menurut Bendahari Komuniti MADANI Kampung Bahagia Jiboi, Jalaludin Musa, sambutan yang diterima membuktikan sukan mampu menjadi medium berkesan dalam menyatukan masyarakat berbilang latar belakang.

“Penyertaan yang menggalakkan ini mencerminkan sokongan masyarakat terhadap program berteraskan perpaduan, di samping menggalakkan gaya hidup sihat serta interaksi positif dalam kalangan komuniti,” katanya.

Acara Liga Penalti dan Netball Shootout Perpaduan 2025 membuktikan bahawa sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi jambatan perpaduan.

Dengan lebih 1,000 peserta dan pengunjung, program ini berjaya menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sembilan, mengukuhkan semangat kebersamaan serta memupuk nilai hormat-menghormati dalam komuniti.

Show More

Related Articles

Back to top button