Lebih 20,000 pengunjung meriahkan Perpatih Fest 2025

SEREMBAN: Lebih 20,000 pengunjung membanjiri Perpatih Fest 2025 yang berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian kebudayaan dan adat warisan Negeri Sembilan di Muzium Negeri, Seremban.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Faizal Ramli berkata, penganjuran tahun ini sebagai antara yang terbaik sepanjang 25 tahun pelaksanaan Perpatih Fest, dari segi susun atur, pengisian serta sambutan pengunjung.
“Mengikut statistik sehingga petang semalam, seramai 23,744 pengunjung hadir secara fizikal, manakala 195,400 menonton secara dalam talian termasuk melalui segmen teaser, Mak Kiah Ferry dan Wan Takaful.
“Tahniah dan syabas kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan atas kejayaan cemerlang ini,” tambahnya sambil berharap penganjuran tahun hadapan, bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, akan lebih meriah dengan pengisian baharu,” kata Faizal.
Majlis penutup turut menyaksikan pelancaran Songket Bunga Lado, penyampaian sijil penyertaan kepada wakil luak dan wilayah adat, masyarakat etnik, serta pelbagai aktiviti seperti karnival masakan rentas negeri, reruai antarabangsa, pameran agensi dan cabutan bertuah.