
SEREMBAN: Usaha memastikan liputan komunikasi yang mantap di kawasan pelancongan Negeri Sembilan diperkukuh menerusi penganjuran Bengkel Penyelarasan Liputan Perkhidmatan Komunikasi Bagi Kawasan Pelancongan Negeri Sembilan 2025 yang dirasmikan Exco Warisan, Inovasi, Teknologi dan Digital, Dato’ Mohd Faizal Ramli di Palm Hotel.
Mohd Faizal berkata, bengkel tersebut merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan itu menghimpunkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, wakil industri pelancongan dan sektor komunikasi.
“Program ini bertujuan menyelaras usaha memastikan liputan perkhidmatan komunikasi yang menyeluruh di kawasan pelancongan di seluruh Negeri Sembilan, sekali gus menjadi persediaan awal bagi menyokong kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
“Perancangan awal secara bersepadu amat penting bagi memastikan sektor pelancongan mendapat capaian telekomunikasi yang mantap, sejajar dengan hasrat menjadikan Negeri Sembilan destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif ini dan komited memperluas capaian telekomunikasi termasuk di destinasi pelancongan luar bandar, sekali gus meningkatkan pengalaman pelancong serta memberi manfaat kepada komuniti setempat,” kata Mohd Faizal.