Malaysia dapat pengecualian cukai untuk 1,711 produk bernilai RM22 bilion

Setelah hampir enam bulan berunding, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia – Amerika Syarikat sudah dimeterai.
Ini bukan pilihan kita, tapi realiti geopolitik yang kita hadapi untuk pertahan akses ke pasaran eksport terbesar kita.
Kepada yang kritik, tolonglah berhujah dengan fakta, bukan fitnah!
Kami, Kerajaan MADANI, bertindak pantas dan berprinsip untuk melindungi mata pencarian jutaan rakyat Malaysia. Hasilnya?
Kadar tarif Amerika Syarikat berjaya diturunkan dari 25 peratus kepada 19 peratus, malah kita dapat pengecualian untuk 1,711 barisan tarif produk utama bernilai RM22 bilion.
Isu garis merah negara seperti hak Bumiputera dan standard halal kita pertahankan, tiada satu klausa pun yang melanggarnya.
Pembelian berjumlah RM1 trilion dari Amerika Syarikat?
Senarai perolehan di bawah perjanjian ini bukan perkara baharu.
Saya ada terangkan pada bulan Ogos yang lepas di Parlimen.
Pembelian-pembelian yang bakal dilakukan oleh syarikat-syarikat berkenaan merupakan cadangan perolehan sedia ada syarikat dan tidak melibatkan sebarang dana daripada Kerajaan.
Apa yang kita buat, kita tanya kepada syarikat MNC yang beroperasi di Malaysia dan juga GLC, apakah perancangan pembelian mereka dari Amerika Syarikat dan kita senaraikan semua pembelian tersebut.
Kalau tak ada tarif pun, memang mereka akan beli juga kerana ia adalah perolehan yang telah dirancang.
Sebagai contoh, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group telah diumumkan pada bulan Mac 2025, jauh lebih awal daripada tarikh pengumuman tarif oleh Trump.
Samalah juga dengan cadangan perolehan LNG oleh PETRONAS.
PETRONAS sebenarnya dari dulu lagi membeli LNG dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat.
Sebelum pengumuman tarif pun PETRONAS dah beli LNG dari Amerika Syarikat.
Tapi sebab kita tak kerja di PETRONAS, bila dengar pengumuman sahaja, terus melompat, sedangkan perkara ini bukan baharu.
Perolehan ini merupakan sebahagian daripada strategi komersial PETRONAS bagi memastikan kestabilan bekalan serta memenuhi komitmen kontrak domestik dan antarabangsa.
ART ini adalah pagar yang kita bina, memastikan tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral.
Kedaulatan negara tetap terpelihara.
Dato’ Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia.
 
				

