Berita

Malaysia Terima Penghormatan Tertinggi Republik Turkiye

Kuala Lumpur- Malaysia menerima penghormatan tertinggi daripada Republik Turkiye melalui penganugerahan Order of the Republic yang disampaikan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan perkara itu menerusi laman Facebook rasminya bahawa penghormatan ini diterima dengan rasa syukur dan rendah diri bukan atas kapasiti peribadi tetapi bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, penganugerahan berprestij ini turut melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Turkiye yang berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kesejahteraan bersama.

Beliau berharap pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia-Turkiye merentasi pelbagai bidang strategik demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

Sepanjang lawatan rasmi, beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Show More

Related Articles

Back to top button