Berita

Negeri Sembilan berpotensi jadi pusat industri aeroangkasa

SEREMBAN: Malaysia Vision Valley 2.0 atau MVV 2.0 di Negeri Sembilan mempunyai potensi untuk menjadi hub industri aeroangkasa di Malaysia dengan perancangan dan gerak kerja yang komprehensif.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ini ialah kerana MVV 2.0 mempunyai kelebihan dari segi lokasi yang strategik terletak tidak jauh dari Lembah Klang dan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang.

“Parcel C, atau dikenali sebagai Integrated Industrial Hub menumpukan kepada sektor perindustrian berteknologi tinggi, hab logistik dan pusat komersial yang berdaya maju dan kompetitif.

“Kawasan ini juga berpotensi menjadi sebagai pusat industri aeroangkasa yang dinamik dan bersepadu di Malaysia dan rantau Asia, seiring dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai antara pemain utama industri aeroangkasa.

“Kedudukannya yang berdekatan dengan KLIA memberikan kelebihan logistik yang signifikan, menjadikannya lokasi strategik untuk operasi berkaitan aeroangkasa seperti pembuatan komponen pesawat, industri sokongan bagi MRO (maintenance, repair and overhaul), serta pusat penyelidikan dan latihan.

“Justeru, kawasan perindustrian baharu yang diberi nama Eco Business Park 7 melalui usaha sama antara NS Corporation, Eco World dan SD Guthrie yang dimeterai ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di Parcel C secara keseluruhan,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama (JVA) antara Perbadanan NS, Eco World Development Group Berhad (Eco World) dan SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) di Klana Resort, Seremban.

Malaysia Vision Valley 2.0 atau MVV 2.0 adalah sebuah koridor ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2018, meliputi kawasan seluas lebih kurang 379,087 ekar merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

Inisiatif ini dirangka bagi melengkapi pertumbuhan pesat Greater Kuala Lumpur, dengan matlamat menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah metropolis bertaraf dunia.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, landskap ekonomi global hari ini sedang berdepan dengan ketidaktentuan bukan sahaja dari segi geopolitik bahkan dari segi dasar ekonomi dan perdagangan global.

Perubahan dasar tarif oleh Amerika Syarikat secara langsung akan memberi kesan terhadap rantaian bekalan global dan aliran pelaburan di Asia, termasuk Malaysia.

“Perubahan ini juga bakal menimbulkan cabaran kepada beberapa sektor perindustrian utama.

“Namun saya yakin dengan kepelbagaian ekonomi di negara kita selain langkah proaktif melalui kerjasama kerajaan dan swasta dapat mengurangkan impak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam menghadapi situasi ini, adalah penting bagi kita untuk memperkukuhkan ekonomi domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar.

“Dengan memfokuskan kepada industri bernilai tinggi, kita mampu menarik pelaburan berkualiti selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.

Aminuddin percaya pembangunan seperti Eco Business Park 7 ini mampu meningkatkan penglibatan Negeri Sembilan dalam industri berkaitan seiring dengan strategi dan dasar Kerajaan Malaysia yang dirangka di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR).

Kerjasama strategik antara NS Corporation, EcoWorld dan Sime Darby Guthrie ini bukan sekadar simbol komitmen terhadap pembangunan Negeri Sembilan, malah menjadi contoh terbaik bagaimana usaha sama awam dan swasta dapat memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi cabaran global.

“Melalui sinergi ini, kita mampu mempelbagaikan pasaran eksport, membangunkan hab industri berteknologi tinggi, serta melabur dalam infrastruktur logistik dan digital yang lebih cekap.

“Inisiatif sebegini juga membuka ruang kepada inovasi bersama, pembangunan produk bernilai tambah, dan pada masa yang sama menyediakan perlindungan kepada syarikat serta tenaga kerja tempatan yang terkesan.

“Usaha ini adalah bukti bahawa dengan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, Negeri Sembilan bukan sahaja mampu bertahan dalam landskap ekonomi global yang mencabar, malah bersedia untuk melonjak lebih jauh ke hadapan,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, Kerajaan Negeri melalui NS Corporation sentiasa komited dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara dan pemacu dalam pembangunan khususnya di kawasan MVV 2.0.

“Kerajaan Negeri juga akan memastikan segala proses berkaitan pembangunan berjalan lancar, mematuhi peraturan yang ditetapkan, dan memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua syarikat gergasi iaitu Eco World dan SD Guthrie atas komitmen serta sokongan yang diberikan dalam inisiatif pembangunan ini.

“Kerjasama strategik tiga hala ini adalah contoh terbaik bagaimana kekuatan dan kepakaran setiap syarikat boleh digabungkan dalam menghasilkan impak yang besar bukan sahaja kepada pemegang taruh dan pelabur, bahkan kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Semoga kerjasama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian besar di masa akan datang dan membuka ruang kepada Negeri Sembilan untuk terus maju sebagai antara pemacu utama pertumbuhan negara,” ulas Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button