BeritaMenarik

Negeri Sembilan larang penggunaan ‘Beg Plastik Sekali Guna’ dan Polesterina

SEREMBAN: Sikap sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang pelbagai jenis sampah termasuklah beg plastik sekali guna telah menjadi salah satu punca utama longkang tersumbat dan seterusnya mengakibatkan banjir.

Selain menyekat aliran air, plastik sekali guna juga mampu memberi ancaman kepada hidupan air kerana tempoh penguraiannya yang mengambil masa ratusan tahun.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, kajian membuktikan bahawa ancaman toksik pada plastik boleh berpindah kepada tisu hidupan lain yang memakan plastik tersebut.

Pembakaran bahan plastik pula akan menghasilkan gas berbahaya seperti nitrogen oxides dan sulfur dioxide.

Justeru itu, ‘Larangan Penggunaan Beg Plastik Sekali Guna, Polesterina serta Penggunaan Penyedut Minuman (hanya) Atas Permintaan” di seluruh Negeri Sembilan telah dikeluarkan sejak 05 Oktober 2022.

Setiap PBT telah diarahkan untuk mengadakan kempen dan memasukkan larangan ini di dalam syarat lesen dan penguatkuasaan hendaklah bermula pada 01 Mei 2023.

“Semua pemegang lesen perniagaan di setiap PBT (peniaga/pembekal termasuk pasaraya, kedai runcit, restoren, penjaja dan lain-lain) yang berhasrat secara sukarela ingin membekalkan beg plastik kepada pelanggan, hanya boleh membekalkan beg plastik biodegradasi dan mudah terurai (biodegradable and compostable) atau beg jenis kertas/kain/jaring.

“Dalam usaha untuk menggalak masyarakat berhenti dari menggunakan Beg Plastik Sekali Guna, setiap pemegang lesen boleh menyediakan atau menjual beg jenis kertas, beg jaring atau beg kain yang boleh digunakan beberapa kali dan tidak mencemarkan alam serta tidak merbahaya kepada kesihatan,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, penggunaan beg plastik dari jenis Oxo-degradable atau beg plastik dari jenis Photodegradable adalah tidak benarkan.

“Tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan ke atas penyediaan/pemberian beg plastik jenis biodegradasi yang
dibekalkan secara sukarela oleh pemegang lesen perniagaan di setiap PBT.

“Mana-mana pemegang lesen perniagaan di setiap PBT yang tidak mampu membekalkan beg plastik jenis biodegradasi, perlu mematuhi peraturan ini dengan tidak membekalkan plastik sekali guna atau jenis lain seperti Oxo-degradable dan Photo-degradable kepada pelanggan,” ujar beliau.

Menurut Arul Kumar, masih terdapat beberapa syarikat besar dan kecil yang masih membekalkan plastik yang dilarang ini, termasuk jenis Oxodegradable atau beg plastik dari jenis Photodegradable.

“Seperti semua sedia maklum dua jenis plastik ini Oxo dan Photo adalah sangat merbahaya kepada manusia.

“Ianya bukan altenatif yang dibenarkan.

“Kedua-dua jenis plastik ini boleh mengurai menjadi microplastic yang membahayakan kepada haiwan dan manusia apabila ia memasuki rantaian makanan,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar, berkata demikian selepas mengadakan Operasi Penguatkuasaan ‘Larangan Penggunaan Beg Plastik Sekali Guna, Polesterina serta Penggunaan Penyedut Minuman (hanya) Atas Permintaan” di Econsave, Forest Heights.

Beliau berkata, Pasaraya Econsave ada mematuhi larangan tersebut dan menyediakan beg plastik biodegradasi dan mudah terurai (biodegradable and compostable).

“Tetapi beberapa kedai atau gerai di luar pasaraya tersebut masih menggunakan beg plastik dan Majlis Bandaraya Seremban telah memberikan notis kepada mereka,” ulas Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button