SEREMBAN: Pengurangan kuota petrol RON95 di bawah skim BUDI kepada 200 liter sebulan dilihat memberi tekanan kepada pengamal media yang bergantung kepada pergerakan harian untuk tugasan liputan.
SEREMBAN: Pengurangan kuota petrol RON95 di bawah skim BUDI kepada 200 liter sebulan dilihat memberi tekanan kepada pengamal media yang bergantung kepada pergerakan harian untuk tugasan liputan.
Sehubungan itu, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas bagi wartawan, jurugambar dan juruvideo berdaftar supaya kuota mereka dikembalikan kepada 300 liter seperti sebelum ini.
Menurut GKMM, perubahan had tersebut menjejaskan kelancaran kerja di lapangan, khususnya bagi pengamal media yang perlu bergerak ke pelbagai lokasi setiap hari termasuk kawasan luar bandar.
Katanya, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada ahli media di negeri-negeri yang berdepan kekangan apabila kuota petrol habis lebih awal sebelum tempoh sebulan berakhir.
“Situasi ini memberi cabaran besar kepada pengamal media untuk melaksanakan tugasan harian, apatah lagi bagi mereka yang perlu menempuh perjalanan jauh dan berulang-alik ke lokasi liputan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut disokong pelbagai kelab media negeri termasuk Johor, Putrajaya, Melaka, Kedah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor, selain Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Perak, Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan.
Dalam masa sama, GKMM menyatakan pihaknya memahami tekanan yang dihadapi kerajaan susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global, termasuk kesan konflik di Asia Barat.
Malah, gabungan itu turut menyambut baik usaha kerajaan meneruskan subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI RON95 serta bantuan lain seperti BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi.
Bagaimanapun, GKMM berharap pertimbangan khas dapat diberikan kepada pengamal media memandangkan peranan mereka yang memerlukan mobiliti tinggi demi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat secara tepat dan pantas.