SEREMBAN: Cadangan memperluaskan keperluan sijil halal kepada premis makanan termasuk restoran bukan Islam wajar diteliti secara menyeluruh agar tidak menjejaskan keseimbangan antara pengguna dan pemain industri.
SEREMBAN: Cadangan memperluaskan keperluan sijil halal kepada premis makanan termasuk restoran bukan Islam wajar diteliti secara menyeluruh agar tidak menjejaskan keseimbangan antara pengguna dan pemain industri.
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Amini Amir Abdullah berkata, pensijilan halal di Malaysia bukan sekadar keperluan pasaran, malah menjadi simbol keyakinan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Bagi pengguna Muslim, sijil halal membawa maksud lebih luas merangkumi aspek kebersihan, keselamatan serta pematuhan kepada syariat, sekali gus menjadi faktor penting dalam membuat pilihan makanan.
“Antara kelebihan utama peluasan pensijilan tersebut adalah memastikan ketelusan maklumat kepada pengguna di samping mengelakkan kekeliruan berkaitan status halal sesuatu premis atau produk.
“Pensijilan halal juga berperanan mewujudkan standard yang lebih tersusun dalam industri makanan dan minuman, selain mengelakkan penyalahgunaan label halal oleh pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan sistem pensijilan yang kukuh mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri halal global serta meningkatkan keyakinan pelabur luar terhadap produk tempatan.
Namun begitu, beliau mengakui terdapat kebimbangan dalam kalangan peniaga terutama perusahaan kecil dan sederhana berkaitan kos pematuhan serta proses pentadbiran yang mungkin menambah beban operasi.
Sehubungan itu, Amini menegaskan sebarang dasar baharu perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan sewajarnya termasuk bimbingan, tempoh penyesuaian dan prosedur yang lebih mudah.
“Perbincangan berterusan antara pihak berkepentingan juga amat penting bagi memastikan dasar yang diperkenalkan lebih praktikal dan tidak menimbulkan tekanan kepada mana-mana pihak.
“Pendekatan yang adil dan inklusif akan membantu mencapai keseimbangan antara hak pengguna, kelangsungan perniagaan serta keharmonian masyarakat,” tambahnya.