Berita

Anwar tekad lonjak usahawan Bumiputera ke tahap lebih kompetitif

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Kerajaan terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan Bumiputera dengan menetapkan sasaran lebih agresif bagi memastikan golongan itu kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut digerakkan melalui pemantapan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC) dengan beberapa sasaran utama termasuk peningkatan pelaburan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion.

“Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu serta melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berprestasi tinggi yang mampu mencapai nilai sehingga RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

“Pendekatan ini bukan sekadar mengejar angka, tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera secara mampan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook malam tadi.

Menurutnya, strategi yang dilaksanakan perlu merangkumi pengukuhan syarikat sedia ada selain membuka peluang dalam sektor baharu berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan dan teknologi maju.

“Kejayaan beberapa syarikat tempatan membuktikan usahawan Bumiputera mampu bersaing sekiranya disokong ekosistem yang kondusif, termasuk akses kepada pembiayaan, peluang perolehan kerajaan serta pasaran komersial yang lebih luas,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan sesi libat urus bersama usahawan Bumiputera yang diadakan baru-baru ini menjadi platform penting untuk mengenal pasti cabaran sebenar dihadapi golongan berkenaan.

“Kerajaan komited untuk terus mendengar dan menambah baik dasar sedia ada agar lebih selari dengan keperluan di lapangan,” katanya.

Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak dan kepimpinan berteraskan prinsip yang jelas, agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negara serta mencerminkan prinsip keadilan sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button