Berita

Negeri Sembilan mahu memastikan usahawan tempatan berjaya dalam perniagaan

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan Bil.1/2025 yang telah diadakan hari bersama pelbagai agensi yang berkaitan.

Veerapan berkata, mesyuarat ini memberi tumpuan terhadap beberapa isu dan inisiatif penting bagi pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pendapatan para usahawan.

“Pembentangan berkisar dengan inisiatif NS Choice kepada syarikat tempatan dengan kerjasama SIRIM iaitu penarafan kepada produk tempatan untuk memperluaskan pasaran.

“Selain itu, Bank Muamalat juga membentang dan memperincikan beberapa inisiatif serta skim kepada usahawan yang boleh memanfaatkan golongan tersebut.

“Dalam pada itu, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) meluangkan masa menerangkan peluang perniagaan menerusi konsep perniagaan francais bagi tujuan membimbing dan memajukan para usahawan tempatan supaya dapat membawa perniagaan ke tahap yang lebih tinggi bagi jangkamasa yang panjang,” ujar Veerapan.

Sementara itu, Veerapan berkata, PKNS juga membentang dan memperincikan permohonan Geran Tabung Usahawan Negeri Sembilan bagi tahun ini serta keseluruhan agihan mengikut tahun sebelum ini.

“Pada penghujung mesyuarat, isu dan informasi terkini mengenai harga barang semasa telah dibincang termasuk harga santan.

“Beberapa ketetapan juga dicapai bagi memperkasa dan memperkukuh golongan usahawan dalam mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburinya.

“Semoga perancangan tahun ini memberi nafas baru buat para usahawan dan pengguna bagi mencapai sasaran khususnya di Negeri Sembilan,” kata Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button