Negeri Sembilan peruntuk RM18.3 juta perkasa pendidikan, prestasi STPM terus meningkat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM18.3 juta bagi pelbagai inisiatif pendidikan menerusi Yayasan Negeri Sembilan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2026 sebagai usaha berterusan memperkasa pembangunan modal insan dan meningkatkan akses pendidikan berkualiti.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata peruntukan itu meliputi Bantuan Sara Hidup, Bantuan Komputer Riba, Anugerah Siswazah Cemerlang, Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah bagi peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), Biasiswa TVET MADANI, Insentif Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM serta Program Tuisyen MADANI.
“Saya yakin dengan janji Allah SWT bahawa apabila kita membelanjakan harta pada jalan yang memberi manfaat kepada masyarakat, Allah SWT akan menggandakan lagi keberkatannya.
“Atas sebab itu, dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2026, sebanyak RM18.3 juta telah diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif pendidikan melalui Yayasan Negeri Sembilan.
“Inilah falsafah pentadbiran Kerajaan Negeri. Apabila hasil negeri bertambah, rakyat mesti merasai manfaatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan serta Insentif Kecemerlangan STPM Tahun 2025 di Klana Resort, di sini.
Mengulas keputusan STPM Tahun 2025, Aminuddin berkata Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Negeri Sembilan meningkat kepada 2.88 berbanding 2.86 pada tahun sebelumnya, sekali gus menyamai pencapaian peringkat kebangsaan.
Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan komitmen pelajar, guru dan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus dipertingkatkan.
“Mungkin ada yang melihat peningkatan ini kecil dari sudut angka.
“Tetapi bagi saya, di sebalik setiap peningkatan itu terdapat ribuan jam ulang kaji, pengorbanan guru, doa ibu bapa dan kesungguhan pelajar yang akhirnya menghasilkan kejayaan yang membanggakan,” katanya.
Aminuddin berkata sebanyak 17 sekolah berjaya mencatatkan kelulusan penuh STPM, meningkat berbanding 13 sekolah pada tahun sebelumnya, manakala tujuh mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi dengan beberapa daripadanya mencapai 100 peratus kelulusan.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan budaya kecemerlangan pendidikan di Negeri Sembilan semakin kukuh dan menjadi amalan berterusan dalam sistem pendidikan negeri.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada SMAP Labu yang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi negeri iaitu 3.37, selain memuji kejayaan Tam Juin Vern dari SMK Mantin yang dinobatkan sebagai antara Pelajar Terbaik STPM Peringkat Kebangsaan bagi Aliran Sains serta Tan Jun Hung dari Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz yang muncul sebagai Pelajar Cemerlang Aliran Sains Sosial.
“Kejayaan mereka membuktikan bahawa anak Negeri Sembilan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja di pentas negara,” katanya.




